Monday 4 January 2016

INGAT ALLAH

Masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan, tetapi bila ikan telah mati. Secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya.

Begitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai. Tapi bila hati mati, mudahnya dipengaruhi oleh unsur negatif.

Moga ALLAH sentiasa pelihara hati kita, walau kita tak terlepas dari melakukan dosa.

Hidupkan hatimu dengan mengingati ALLAH.❤

Saturday 15 February 2014

Monday 28 November 2011

Geng Guris

Parit Tok Ngah: Sepasang kanak-kanak bawah umur yang menamakan kumpulan mereka sebagai geng guris langsung tidak dikenali pada peringkat awalnya tiba-tiba menjadi terkenal di kalangan keluarga terdekat apabila aksi mereka yang begitu berani bermain api terakam secara tidak sengaja oleh seorang jurufoto yang tidak bertauliah pada hari raya korban yang baru lalu.

Aksi stunt mereka yang begitu berani bermain dengan guris amat mengagumkan. Namun begitu aktiviti mereka membimbangkan ahli keluarga kerana menggunakan penggunaan guris secara sewenang-wenangnya. Setakat berita ini ditulis, telah banyak himpunan sampah yang dihimpun oleh atuk dibakar oleh geng ini tanpa arahan. Atuk bimbang nanti akan ada pula cubaan untuk membakar objek-objek lain seperti reban ayam, kandang kambing, kebun pisang dan sebagainya.

Difahamkan kegiatan mereka telah mula dicurigai pada awalnya setelah beberapa kali atuk tidak dapat menyalakan dapurnya kerana kehilangan guris. Pihak pekedai runcit setempat juga telah kehabisan stok guris kerana telah dibeli secara berterusan oleh dua orang ahli geng guris tersebut.

Tolong jangan tiru aksi ini.

Gambar: Salah satu foto aksi berani geng guris yang sempat dirakam.

(Kamus: Guris bermaksud mancis dalam Bahasa Banjar.)

Friday 4 November 2011

Yasin berubah wajah

Memanglah dah lama kita tidak jumpa, tapi janganlah salah anggap pulak. Sebenarnya bukan Yasin yang berubah tapi blog Yasin yang berubah wajah. Bukanlah lawa sangat pun tapi sekadar untuk sebuah kelainan.

Maklumlah dah lama asyik dok tengok rupa yang sama boring juga. Usahkan kekawan, Yasin sendiri pun dah naik meluat. Itulah pasal lama tak update... daripada nak update jadi terus hilang idea.

Semoga dengan penaikan taraf blog Duniaku Yasin ini dapatlah memberi keselesaan kepada kekawan untuk mengunjunginya dengan lebih kerap. Di samping itu dapatlah juga kiranya kekawan memberi komen serta pandangan yang sihat dan bernas demi untuk manfaat bersama.

Akhir kata renungilah kata-kata ini...
"Tertawalah dan dunia akan tertawa bersama anda, berdengkurlah dan anda akan tidur sendirian".


Dengan berakhirnya acara melangkah parit bendang di atas maka dikira sempurnalah sudah perasmian pembukaan blog Duniaku Yasin berwajah baru ini. Hehehe...

Monday 5 September 2011

SYAHIR layan KUYT di KB


Alhamdulillah... semuanya sudah selamat. Puasa sudah selamat. Raya sudah selamat dan Yasin pun sudah selamat kembali ke rumah setelah seminggu di kampung. Kepada kekawan selamat memulakan semula sesi persekolahan seperti biasa.

Kenangan aidilfitri 2011 masih lagi terasa panas. Tahun ini Yasin berada agak lama sikit di kampung abah di Kota Bharu Kelantan sebelum ke kampung mama di Parit Buntar Perak. Sempat la jugak keluar membeli belah di Pasar Besar Siti Khadijah.

Pengunjung pasar bukan sahaja terdiri di kalangan anak tempatan tetapi kebanyakannya orang luar berdasarkan percakapan mereka. Ini tidak pelik kerana kebanyakan barangan di sini dijual dengan harga yang amat murah berbanding di Kuala Lumpur.

Di tengah kesibukan membeli belah, mungkin kekawan tidak percaya kalau Yasin katakan terserempak dengan dua insan yang glamer. (Sila lihat gambar...) Siapa yang tidak kenal Syahir dan siapa yang tidak kenal Kuyt. Seorang penyanyi tersohor dan seorang lagi pemain bola profesional. Yasin difahamkan bahawa Syahir sedang melayan Kuyt untuk memborong keropok dan budu yang sememangnya tidak ada di Liverpool.

Hehehe... jangan marah, gurau... Sebenarnya Syahir tu abang Yasin dan Kuyt tu Yasin. Itulah antara gambar kenangan kami beraya di KB.

Kepada semua kekawan... Selamat Hari Raya Adilfitri. Maaf Zahir Batin.

Saturday 30 July 2011

terkam harimau malaya


Benarkah apa yang yasin nampak ni? Ataukah yasin sedang bermimpi? Beberapa kali Yasin menggosok-gosok mata namun masih nampak seperti apa yang Yasin sedang nampak. Seekor harimau belang sedang lepak di halaman rumah... Bukan Harimau Malaya. Kalau Harimau Malaya boleh Yasin mintak autograf.

Mungkinkah harimau belang ini terlepas dari zoo? Atau dia tersesat jalan ke hutan? Apakah yang harus Yasin buat? Patutkah Yasin melarikan diri atau melawan yang belum tentu menang tewasnya?

Ahhh!!! Apa guna ilmu di dada kalau tidak diamalkan. Yasin nekad untuk melawan. Yasin mesti menangkap harimau itu untuk dibawa pulang ke zoo. Kalau dibiarkan mungkin akan mencederakan orang ramai.

Yasin membuka langkah yang pertama. Yasin berjalan menuju ke arah harimau dari arah belakang secara perlahan-lahan. Semakin dekat semakin terasa auranya. Yasin membuka langkah yang kedua. Eyahh! Yasin terus menerkam si Belang sebelum sempat dia menoleh ke belakang. Dia tidak sempat berbuat apa-apa... Langsung tidak meronta.

Memang dia tidak mampu melawan pun sebab ia adalah sebuah patung Harimau Malaya... Inilah adalah sekadar aksi lagak ngeri Yasin apabila mendapat bengkung awan putih. Hehehe...

Tuesday 26 July 2011

Ujian Yang Pertama


Pada hari Ahad 24 Julai 2011 Yasin telah mengharungi satu ujian peringkat pertama untuk memiliki Bengkung Awan Putih dalam Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia.

Fuhh! Sungguh getir dan mencabar! Walaupun telah banyak latihan yang di jalankan Yasin masih berasa keperitannya. Tidak dapat untuk dibayangkan apabila menghadapi ujian-ujian untuk merebut bengkung pada peringkat yang lebih tinggi nanti.

Namun begitu Yasin akan terus berusaha untuk mencapainya. Buat masa sekarang Yasin sedang giat berlatih untuk memantapkan susuk badan dan kekuatan stamina. Yasin mesti makan lebih makanan yang berkhasiat seperti telur, daging dan sayuran. Minum minuman seperti madu, susu dan milo. Jauhkan makanan ringan seperti keropok walaupun Yasin amat menyukainya.

Err... tapi mama kata sepupu Yasin yang kat kampung baru sekolah tadika, pompuan pulak tu, sudah ada bengkung putih. Yeee ke?